Sabtu, 1 Februari 2014

Usah MENGALAH


“Usah direnung betapa letihnya usaha tetapi fikirkan betapa indahnya kejayaan. Demi mencapai kejayaan, jangan lihat apa yang telah diusahakan, tetapi lakukan apa yang belum diselesaikan.” ~Petikan Novel GADIS KOMIK



Acap kali kita merungut dengan bebanan kerja yang banyak. Sering kali kita mengeluh setelah letih membuat itu dan ini dalam usaha memperoleh apa yang diingini. Kita hampa dan putus asa apabila setelah penat berusaha, kegagalan pula yang menimpa. Kita terlupa bahawa Imam al-Ghazali pernah berkata, "Untuk mendapatkan apa yang kamu suka, pertama kamu mesti bersabar dengan apa yang kamu benci."

“Bila agaknya ia akan selesai selesai?”

“Sampai bila aku harus menghadapinya?”

Persoalan-persoalan sebegini selalu menerjah fikiran. Tiada jawapan yang tepat untuk menjawabnya. Apa yang pasti, selagi nadi masih berdenyut, selagi jantung masih berdegup, selagi oksigen dan karbon dioksida, masih cergas menjalankan kitarannya menurut sunnatullah, selagi itulah manusia tidak pernah sunyi daripada segala cubaan dan dugaan. Seperti manusia yang masih perlu makan, minum dan tidur selagi nyawa dan jasad belum berpisah…

Mainan emosi ada kalanya menyebabkan langkah kita terhenti seketika. Lalu merenung kembali rentetan perjuangan yang telah dilalui. Meneliti parut-parut luka yang berbekas pada tubuh dan goresan yang masih berdarah dalam hati. Sehingga terlintas dalam hati ingin menamatkan perjalanan sampai setakat itu. Sekali gus menjawab “TIDAK” terhadap lamaran perjuangan.

Ingatlah, jalan menuju kejayaan duniawi dan ukhrawi tidak ditaburi bunga yang harum ataupun kilauan permata. Sebaliknya bukan setakat onak ranjau yang berduri, bahkan mungkin juga ada sarang tebuan, serigala ganas, ular berbisa, serangga berbisa, pacat, lintah dan macam-macam lagi bakal ditempuhi. Apalah sangat rintangan yang menduga kita jika dibandingkan dengan para mujahid pada zaman dahulu… Ah, malunya andai terlalu cepat kita mengalah dengan dugaan yang tidak seberapa 

1 ulasan:

  1. mengalah bukan bererti kalah,
    mengadu tak semestinya berlagu sendu,
    menerjah tak selalu gagah,
    membisu tidak semestinya bisu
    ada yang berani bersuara tak berani semuka,
    ada yang berani ke depan tapi suaranya perlahan
    apa yg baik berlandaskan iman
    yang jahat bertuankan syaitan
    jadikan doa sebagai bekalan
    sabar dan reda penghias laman
    semoga hidup mendapat keberkatan.....

    BalasPadam