Sabtu, 8 Februari 2014

Gadis Komik: Di Sebalik Tabir (Episod 2)


~ Kenapa LAMBAT??? ~

Tempoh yang diberi oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd untuk menyiapkan manuskrip Gadis Komik ialah selama tiga bulan sahaja. Namun begitu saya mengambil masa selama enam bulan untuk melunaskannya. Manuskrip yang sepatutnya dihantar pada 23 September 2013 tetapi selamat sampai kepada editor perolehan GISB pada 23 Disember.

Apakah masalah yang membuat ia menjadi lambat? Jawapan paling jujur ialah PENANGGUHAN. Kenapa bertangguh? Macam-macam sebab. Jika nak terus juga soal jawab ini, boleh cipta lagu ala-ala ‘bangau oh bangau kenapa engkau kurus?’ tetapi versi parodi mungkin akan jadi ‘manuskrip oh manuskrip kenapa tak siap-siap?’

Kata pakar motivasi, “usah cari alasan tetapi fikirkan penyelesaian”. Tetapi macam mana pula nak fikirkan penyelesaian sebab semuanya sudah berlalu. Bukankah barang yang lepas usah dikenang lagi… Usah dikenang sehingga jadi sasau tetapi fikirkan pengajaran yang boleh diambil sebagai teladan agar pada masa akan datang ia tidak akan berulang lagi.

Antara nasihat-nasihat yang pernah diterima daripada cikgu-cikgu penulisan;

“Tulis tiap-tiap hari.”

“Jangan tunggu masa menjadi lapang. Tetapi lapangkan masa anda untuk menulis.”

“Idea ialah AMANAH!” Bagi saya, ayat ini paling menggerunkan. Jika saya tidak bergegas menaip idea itu menjadi karya, saya seperti orang yang pecah amanah! Tidak bertanggungjawab. Ibarat saya sedang menyeleweng wang syarikat yang diamanahkan untuk diuruskan sewajarnya. Maka saya bakal berdepan dengan tindakan undang-undang. Orang bakal gelar saya sebagai ‘FRAUDSTER’. Oh, TIDAK!!!

Apa yang dapat diambil iktibar berdasarkan kelambatan dan kelembapan saya itu? Kita bukan sahaja perlu bijak MENGURUS MASA. Akan tetapi kita juga perlu bijak dalam PENGURUSAN EMOSI. Bukan sahaja untuk penulis, bahkan untuk pelajar, pekerja, peniaga dan lain-lain pe... pe... pe...

Jika kita belajar konsep syarikat dan pemegang sahamnya yang mengamalkan konsep ‘separate legal entity’ sebagaimana menurut Akta Syarikat… Begitu juga kita, minda kita dan emosi kita… perlu amalkan konsep ‘separate thinking entity’ atau apa-apa sahaja istilah bersesuaian. Apa yang penting, semasa buat kerja jangan fikir masalah dan jangan over berangan (jika sedang gembira tahap gaban).

Memang betul, emosi bukannya seperti kucing yang boleh dipujuk dengan ikan segar. Walaupun sudah berusaha memujuk dan memberi motivasi, ada kala ia tetap juga mengada-ngada. Apa tunggu lagi, pergilah mengadu kepada DIA yang memiliki hati dan berkuasa menakluki emosi. DIA yang mencipta segala-galanya dan Maha Berkuasa…

Saya akan sambung lagi… اِنْ شَآءَ اللّهُ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan