Blog ini tidak menjamu anda secangkir kopi mahupun sepiring kuih muih. Sekadar sepotong ayat motivasi sebagai hidangan jiwa dan santapan minda.
Ahad, 2 Februari 2014
Jangan kata NANTI
“Seribu langkah ke hadapan, bermula dengan langkah pertama. Halangan utama kepada sebuah kejayaan adalah apabila manusia enggan membuat satu permulaan.” ~ Petikan Novel Gadis Komik
Nak baca kitab Bahasa Arab, “Tunggulah dahulu sehingga sudah memiliki kamus elektronik yang canggih. Baru senang dan cepat. Tak perlu nak buka kamus berulang kali.”
Adakah apabila sudah punya kamus elektronik, ketika itu kita masih punya kelapangan dan keinginan untuk menelaah. Agaknya jika kita mulakan daripada sekarang, mungkin ketika memilikinya, kita sudah lebih mahir menguasai bahasa Arab dan lebih banyak kitab yang dapat ditelaah. Ilmupun menjadi semakin banyak.
Nak mula mengembara dan hidup berdikari, “Tunggulah sehingga sudah cukup keberanian dan bila betul-betul rasa sudah bersedia.”
Agaknya bilakah kita akan memiliki cukup keberanian dan cukup bersedia untuk menempuh segala cabaran. Jika hendak tunggu sehingga cukup persediaan, agaknya sehingga hari ini pun kita masih belum bersedia menghadapi peperiksaan SPM. Maka mulakan langkah pertama. Jika tidak, kita tidak akan ke mana-mana.
Nak mula bersawah, “Tunggulah sehingga sudah habis mengkaji penyakit padi”
Jika asyik nak kaji penyakit padi, tak bersawah kita. Jika tak ada sawah, macam mana nak makan nasi? Tidak salah mengkaji agar kita dapat pengetahuan. Seterusnya melakukan sesuatu bagi mengurangkan sebarang risiko kerugian. Akan tetapi jangan sampai segala pengetahuan itu membuat kita semakin takut untuk bertindak. Belajarlah daripada pengalaman dan korek ilmu daripada individu yang lebih tahu. Lakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Itu lebih baik daripada termenung sambil melongo tanpa melakukan sebarang usaha!
Keadaan akan sentiasa berubah. Apabila masalah lama selesai, akan muncul pula masalah baru yang menggamit kita untuk mencari solusi. Percayalah wahai sahabat-sahabatku sekalian, jika kita sentiasa berkata NANTI dan TUNGGU DULU untuk mengorak langkah pertama, sampai-bila-bila pun tidak akan bermula proses melakar Cerita Sebuah Kejayaan dalam diari hidup kita...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan