Teruja. Berdebar-debar. Semuanya ada. Beginikah rasa ketika menanti dan menunggu lahirnya bayi pertama? Eh, sila jangan salah faham pula. Nanti ada pula yang komen, “Eh, bila masa pula kau kawen?”
Bayi yang dimaksudkan di sini ialah sebuah novel yang diberi nama GADIS KOMIK. Kebanyakan penulis mengibaratkan proses menyiapkan manuskrip seperti sedang mengandung. Apabila semuanya selesai dan menanti buku dicetak, ia laksana menanti proses kelahiran. Siang tadi baru sahaja menerima ilustrasi cover novel. Eh terasa seperti dapat melihat bayi dalam perut
Bezanya orang yang ‘mengandung betul-betul’ ada suami, ada ahli keluarga yang teruja menanti saat kelahiran. Namun begitu, اَلْحَمْدُلِلّهِ masih ada teman-teman sealiran yang punya persamaan dalam misi perjuangan biarpun jauh daripada pandangan mata, biarpun jarang berkomunikasi namun aku tahu doa dan harapan mereka menemani setiap langkah ini.
Walaupun secara lahiriah tiada siapa di sisi, namun DIA berikan sahabat sejati yang letaknya di hati. Terima kasih Yaa Rabb kerana meminjamkan seorang sahabat sejati yang selalu ada saat diri ini ingin berkongsi dan bercerita rahsia hati. Semoga tempoh ‘pinjaman’ ini berpanjangan dan berterusan sehingga diri menemui noktah kehidupan. آمِّينَ.
Ramai rakan-rakan yang menulis status berkenaan hari-hari yang dilalui sebagai ibu, bakal ibu, bakal isteri… memori-memori indah yang dilalui menghadapi perkara-perkara rutin semasa kehamilan seperti mengidam, morning sickness, pening, loya dan macam-macam lagi. Tiada satu pun perkara-perkara di atas pernah dilalui. Diringkaskan ayat, diri ini masih lagi dalam kategori ‘kanak-kanak’ dari segi pengalaman hidup.
Namun begitu ada beberapa perkara yang kini telah dirasa, dilalui dan dihadapi sepanjang menyiapkan karya sulung ini. Ada kala diterima dengan senyuman, hati yang lapang dan jiwa yang tenang. Akan tetapi ada waktu jiwa rasa sangat tertekan, hati jadi rawan, ada kala air mata laju sahaja bercucuran menumpaskan ego yang dahulunya gah bertakhta.
Entah mengapa… Sepanjang menyiapkan novel ini, hati acap kali berperang dengan emosi. Bukannya sebelum ini tidak pernah menerima dugaan. Dahulu aku jenis manusia yang kurang kecaknaan tetapi kini ‘rasa’ itu menyentuh sehingga ke dasar perasaan. Mungkin Allah beri kesempatan untuk menikmati ‘rasa’ sebegitu agar nanti boleh digunakan agar mesej dakwah ini berterusan. اِنْ شَآءَ اللّهُ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan