Sesungguhnya yang terindah hanyalah sementara. Akan tetapi derita juga bukan untuk selama-lamanya. Tentu kita pernah mengalami keadaan ketika pelbagai musibah datang dalam hidup secara berjujukan. Akan sampai satu tahap masalah itu akan pergi juga. Namun ia menuntut kesabaran kita menghadapinya dan memerlukan otak kita memikirkan penyelesaian.
Ibarat tatkala ribut petir, taufan dan puting beliung datang. Ia bukan untuk selama-lamanya. Namun ketika ribut melanda, kita perlu menghadapinya dengan tenang dan tabah. Jika ada kemungkinan ribut itu menyebabkan rumah kita runtuh, gunakan akal untuk mencari solusi bagi mengurangkan risiko kemusnahan… Sampai masanya nanti ribut akan reda. Mentari akan datang bersinar kembali bersama pelangi yang cantik.
Masalah, jadikan hadirnya seperti lantunan bola yang kuat pada lantai yang keras. Selepas terhempas ke bawah dengan hentakan yang kuat, apakah yang berlaku? Adakah bola itu terus sahaja berada pada lantai sambil mengaduh, “Jangan sentuh aku. Kepala aku sudah benjol…” Oh, tidak sama sekali! Sebaliknya bola itu akan naik semula ke atas dengan lebih tinggi.
Kehadiran masalah dalam hidup akan memberi nilai tambah dalam diri kita. Untuk menyelesaikan masalah kita belajar sesuatu. Ketika berdepan dengan masalah, kita akan beroleh pengalaman berharga yang boleh dikongsi pula kepada orang lain pada masa akan datang. Bebanannya yang berat membuat hati menjadi kuat, jiwa menjadi gagah... Semoga dengan bermujahadah ketika menghadapinya, iman juga kian bertambah dan semakin tebal cinta kepadanya.
Ucapkan اَهْلاًوَسَهْلاً kepada masalah yang saban hari bertandang dalam hidup kita. Sambutlah ia seperti seorang tetamu istimewa. Layan dengan sewajarnya. Lama mana pun tetamu bertandang, pasti akan pulang juga ke tempat tinggalnya… Dia pulang dengan meninggalkan seribu rahmat dan kenangan berharga buat pedoman kepada semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan