“Dalam hidup ini tiada istilah kebetulan. Setiap perkara yang berlaku akan menjadi asbab kepada perkara yang lain pula.” ~Petikan Novel SAYA Tunggu AWAK
Saya ingin bercerita tentang rentetan yang menggerakkan sepuluh jari ini berlari-lari atas papan kekunci untuk menyiapkan manuskrip Gadis Komik. Eh, tetapi kenapa pula saya memetik tagline daripada novel SAYA TUNGGU AWAK? Kerana segala-galanya telah dirancang oleh-Nya dengan rapi dan teratur. Walaupun kita nampak macam ‘kebetulan’ sahaja...
“Eh, nasib baik kita berjumpa di sini.”
“Kebetulan pula aku pun nak buat benda yang sama...”
Ayat-ayat sebegini sering kali meniti bibir. Akan tetapi semua itu tidak akan berlaku jika Dia tidak mengizinkan, waima sehelai daun yang gugur ke bumi sekalipun...
Sebenarnya sejak awal lagi saya ingin menulis buku motivasi. Bukannya novel tarbiah seperti yang sudah terjadi sekarang. Namun begitu, Allah lebih tahu apa yang lebih baik untuk hamba-Nya. Segala-galanya bermula apabila Dia mengatur perkenalan saya dengan Puan Faeeza Fadel dalam satu bengkel penulisan pada Disember 2012. Beliau memaklumkan tentang Bengkel Penulisan Islamik bersama Hilal Asyraf pada Januari 2013. Tanpa fikir panjang, saya pun turut menyertainya.
Pada bulan Jun 2013 diadakan pula Bengkel Intensif Penulisan Novel Islami selama dua hari satu malam. Ketika bengkel itu kami diminta menyiapkan proposal yang perlu dibentangkan dan dinilai. Idea ketika itu memang bercelaru. اَلْحَمْدُلِلّه berkat pertolongan-Nya melalui bimbingan insan-insan baik hati daripada GISB yang memurnikan idea itu.
Keputusan diumumkan sebelum tamat bengkel, sama ada akan diterima, ditolak ataupun perlu diperbaiki. Syukur, dengan izin-Nya idea diterima dan surat tawaran pun diberi.
Tiada kata secantik bahasa
Tiada ungkapan seindah اَلْحَمْدُلِلّه
Nak digambarkan rasa syukur kepada-Nya
Tiga bulan tempoh diberi untuk menyiapkan manuskrip. Menekan papan kekunci, menyusun aksara sambil menggubah kata-kata membentuk bicara. Menyelit tarbiah di sebalik cerita... Bukanlah semudah yang dibayangkan. Biarpun tak sesukar memintal pasir menjadi bunga. Tidak juga mustahil bagai memetik bintang untuk disimpan dalam almari kaca buat perhiasan
Namun begitu, cabaran paling utama ialah untuk mengekalkan melodi bicara agar sesuai untuk remaja. Tajuknya pun ‘Gadis Komik’, perlulah santai dan sekali sekala menggeletek hati pembaca. Tetapi bagaimana mahu mencetuskan kelucuan andai hati sedang rawan dek cetusan peperangan emosi yang semakin tak keruan...
اِنْ شَآءَ اللّهُ pada masa akan datang saya akan bercerita lagi... Kenapa saya menulis cerita sebegini, bagaimana saya mengatasi cabaran-cabaran yang datang dan macam-macam lagi perkara yang melatari sepanjang proses menyiapkannya...
Eh, nampak tak... perkenalan dengan Puan Faeeza Fadel yang akhirnya menjebak saya untuk menulis novel ini dengan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Ia tidak habis setakat itu sahaja. banyak lagi yang berlaku selepas itu. Lagi... lagi... dan lagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan