Rabu, 10 Julai 2013

Pertama Ramadhan datang lagi


Syaaban pergi. Ramadan datang lagi.  Bertamu dalam kalendar kehidupan bersama keberkatan. Membawa harapan baru. Merenung beberapa waktu yang telah ditinggalkan. Ramadhan - Ramadhan terdahulu yang telah aku lalui. Menginsafi diri dengan hati yang tidak cukup murni bagi mengikhlaskan segalanya berlalu pergi. 


Terkadang aku kurang redha dengan ketetapan Ilahi. Tanpa kusedar harumnya bunga disebalik ketajaman duri. Manisnya madu terkawal disebalik bisanya lebah. Aku masih mencari makna ilusi ketika terangnya realiti. Tanpa kecaknaan bahawa jawapannya ada di sini.



Tahun ini sekali lagi aku menyambut Ramadhan dengan sebeban kealpaan semalam yang kian memberat. Sekali lagi  Ramadhan ku sambut dirantauan. Walaupun bukan di seberang lautan. Aku memilih untuk meneruskan kerja bersama supervisorku. Tatkala ini hatiku penuh mengharap agar dissertasiku tidak bermasalah agar dapat ku tamatkan pengajian ini dengan mudah. Dihadapanku ada dua pilihan yang kian meletakkan aku dalam dilema. Tersepit antara cita-cita ku pada masa dahulu dan angan-angan sewaktu kecilku, yang kini terlihat jelas jalan menjadikan angan-angan itu menjadi realiti yang pasti. 

Perlu melakukan istikharah banyak-banyak kali agar aku mantap memilih keputusan yang mencorak siapa aku pada esok hari, agar tidak diburu sesalan nanti. Antara menuntut dan mendalami ilmu yang fokus kepada satu bidang tertentu atau menyebar dakwah secara umum dalam pasaran yang meluas atau melakukan kedua-duanya sekali? Bukankah selama ini juga aku sudah biasa hidup dalam rutin seperti itu. Tetapi aku memerlukan waktu untuk membina legasiku. Masih buntu. Ikutkan hati, mahu sahaja aku pergi. Tetapi di sana juga belum tentu kebahagiaan itu pasti.

Ramadhan ini ku sambut dengan sejuta harapan. Semoga kali ini aku lebih mengerti makna diri. Ahlan wasahlan yaa Ramadhan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan