“Sahabat ialah orang yang sanggup
terjun ke neraka untuk menyelamatkan kamu sekiranya kamu terjatuh ke dalamnya”
kata-kata ini aku cedok daripada novel tarbiah ‘Relasi Mencari Sahabat Sejati’
karya Hilal Asyraf.
Sebentar aku terkesima. Bukan
terkejut atau tidak setuju dengan kata-kata itu. Cuma aku terfikir, jika buku
ini telah terbit sejak dahulu lagi dan aku telah membacanya sejak zaman
persekolahan, pasti banyak perkara yang dapat ku perbaiki.
Sejak dahulu aku mengukur, rapat
dan kukuh sebuah persahabatan mengikut tempoh masa aku mengenali seseorang.
Maka aku sering kali menolak persahabatan atau perhubungan baru dalam hidup, dengan
alasan kesetiaan pada persahabatan lama.
Namun aku mungkin silap. Sepatutnya
ukhuwah perlu dijalinkan dengan sesiapa sahaja saudara seagama yang ada di atas
muka bumi ini. Selagi ia tidak melampaui batas-batas syarak. Apatah lagi
sekiranya jalinan ukhuwah itu mampu membuatkan kita taqarrub kepada-Nya,
di samping menambah ketakwaan dan mengukuhkan keimanan.
Andaian itu sering kali membuat
aku kecewa apabila dia, insan yang aku nobatkan sebagai sahabat tiba-tiba
menjadi manusia yang sangat tidak memahami. Sahabat yang aku fikir sangat
mengenali ku, rupanya tidak pernah mengerti bahkan seolah-olah mengenali ku
sebagai insan lain, seperti watak yang dia cipta sendiri.
Tetapi wajarkah aku menyesali,
haruskah aku menyalahkannya. Seharusnya aku tidak terlalu mengharap. Apa yang pelik, manusia yang baru sahaja dikenali seolah-olah tahu segala-galanya
dan mampu membaca diri ini bagaikan membaca sebuah novel.
Ntahlah... Aku cuma boleh katakan
bahawa semua ini kuasa-Nya. Mungkin dia tidak mengizinkan sahabat lama untuk
memahami ku sedalam-dalamnya. Namun apabila Dia berkata “ku fayakun” maka tidak
mustahil jika orang yang baru ku kenali itu lebih mengerti segala-galanya.
Kenapa tiba-tiba aku menulis
tentang sahabat? Sebab pertama, aku sememangnya menganggap sahabat adalah
manusia terpenting dalam hidup. Kedua,
aku jua pernah menyia-nyiakan kemunculan sahabat dalam hidupku.
Ketiga, kedatangan Ramadhan pada tahun ini bermakna sudah dua tahun aku dan
sahabatku tidak lagi saling berhubung seperti sebelum-sebelumnya. Segala-galanya
berpunca daripada sikap ku sendiri. Ah... aku malas nak merungkai kembali satu
kebodohan yang impaknya sangat mengecewakan.
Tanpa kata, sms, surat, email
pengganti bicara, membuatkan terkadang aku rasa waktu seakan kosong. Rongga-rongga
dalam jiwa seakan dipenuhi habuk dan zarah-zarah yang tak berguna. Namun, ia membuka ruang untuk aku muhasabah diri, memberi waktu untuk aku bertanya kepada hati dan
memberi peluang kepada akal mencari rasionalisasi. Aku tahu setiap
aturan-Nya pasti tersirat hikmah yang sangat indah. Aku sering menggambarkan bahawa aku ibarat watak Saifullah dalam novel Relasi Mencari Sahabat Sejati yang asyik
tercari-cari seseorang yang boleh digelar sahabat dan tertanya-tanya apakah
makna persahabatan sejati.
Seperti kisah dua orang kerdil
yang dipetik daripada buku ‘Who Moved My
Cheese?’ Hasil karya Dr. Spencer Johnson. Orang kerdil bernama Haw telah meninggalkan
sahabatnya Hem. Haw yang mahu mencari keju baru dan meninggalkan daerah yang
telah selesa diduduki sementara Hem berdegil mahu menunggu keju lamanya muncul
kembali.
Dahulunya mereka sering bersama dalam
suka dan duka. Mengembara bersama mencari keju yang diidamkan. Menjalani rutin
hidup bersama-sama Namun apabila sampai satu tahap, Haw terpaksa mengucap
selamat tinggal kepada Hem. Haw tidak mengkhianati persahabatan mereka. Cuma
sampai setakat itu sahaja mereka bersama. Jauh di sudut hati Haw dia tetap
mengharap Hem juga akan terbuka hati untuk keluar daripada daerah yang sudah
kehabisan keju itu.
Haw masih menganggap Hem sebagai
sahabatnya. Namun haluan yang berbeza memaksanya meninggalkan Hem. Menurut
buku itu “untuk mendapatkan keju baru, kita perlu meninggalkan keju yang lama”
sekali dengar agak kejam. Lebih-lebih lagi jika keju itu kita umpamakan seperti
seseorang yang pernah wujud dalam sebuah hubungan yang istimewa. Tetapi, itulah realitinya, kita perlu bergerak seiring dengan masa. Andai sebuah perhubungan itu lebih mendatangkan natijah buruk, untuk kenapa masih membuang masa? Untuk apa setia menunggu?
Untuk dia yang dahulu pernah menjadi
sahabatku, dia yang pernah mengisi kekosongan waktuku dengan senyuman,
keriangan dan hilai tawa. Dia yang pernah berkongsi cerita suka duka dengan ku. Dia yang pernah kebasahan meredah hujan bersama ku. Dia yang pernah bermandi keringan berjalan di bawah terik mentari bersama ku.. Semoga Allah menemukan untuknya sahabat yang lebih
baik daripada diriku. Sahabat sejati seperti yang digambarkan oleh Hilal
Asyraf dalam novelnya, sahabat yang sanggup terjun ke neraka untuk
menyelamatkannya dan memimpinnya ke syurga. InsyaAllah. Ameen
right....kisah yang best dan boleh dijadikan ikhtibar...tq
BalasPadam