Tahniah kepada adik-adik yang baru sahaja menerima keputusan SPM. tidak kisahlah apapun pencapaian yang diperoleh. Banyak A, sikit A, ada A, takde A... Ucapan tahniah tetap layak dinikmati, kerana telah berjaya melepasi satu fasa kehidupan yang selama ini jalani selama bertahun-tahun lamanya sebagai pelajar sekolah.
Apa yang lebih penting sebenarnya ialah pengalaman yang dikutip sepanjang melalui perjalanan hidup sehinggalah sampai pada hari ini. Cara menangani masalah-masalah yang menduga dipersimpangan jalan, sekuat mana hati tabah dan sabar menempuh segala rintangan. Sejauh mana anda berjaya meminimumkan kesan daripada risiko-risiko yang dihadapi
Pasti ramai yang pernah mendengar kata-kata sang pujangga yang berbunyi "Apa yang penting, bukanlah kejayaan yang diraih, tetapi rintangan dan halangan yang ditempuhi sepanjang rentetan menuju kejayaan, itulah yang lebih berharga"
Oleh itu, usah bersedih, jangan iri hati, tidak perlu mempertikai mengapa kita selalu diuji dengan dugaan yang lebih berat dan lebih besar daripada orang lain??? Sesungguhnya Allah tidak akan menguji kita dengan dugaan yang tak termampu kita hadapi. Jika kita melalui sesuatu yang lebih dahsyat daripada orang lain, maknanya kita lebih kuat. Bersyukurlah kerana Allah memilih kita untuk diuji seperti itu, maka kita berpeluang untuk membuktikah bahawa kita adalah manusia HEBAT.
Fasa kehidupan yang seterusnya lebih mencabar dan berliku. Lebih banyak rintangan yang menunggu di sepanjang perjalanan hidup ini. Tidak kira sama ada anda memilih untuk menyambung pengajian ataupun sebaliknya. Tidak kisahlah ke benua mana kaki akan melangkah. Selagi nafas masih berhembus, selagi nadi masih berdenyut, selagi jantung masih aktif mengepam darah, selagi perut masih terasa lapar meminta makanan, selagi selagi kitaran oksigen dan karbon dioksida masih berlaku seperti biasa, maka selagi itulah manusia tidak akan sunyi daripada masalah dan dugaan.
Dugaan adalah rencah yang menambah kepelbagaian rasa dan menokok kelazatan dalam resipi kehidupan. Tanpanya, cerita manusia menjadi hambar, diari hidup kosong tanpa kisah, sang penglipur lara sepi tanpa ceritera. Sang pujangga kekosongan kertasnya tanpa bait kata-kata...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan