Khamis, 30 Januari 2014

KITA SEMUA ISTIMEWA



 KITA SEMUA ISTIMEWA 

Kita semua memang tak sama. Sebab itu kita saling memerlukan agar boleh melengkapi kekurangan masing-masing. Kelainan yang ada pada seseorang bukannya untuk dibenci tetapi itulah perlunya pemikiran dan tindakan kreatif untuk memanfaatkannya secara optima. Kekurangan seseorang bukannya untuk dicaci tetapi itulah peluang kepada yang memiliki kelebihan untuk menghulur bantuan.

Bayangkan andai pelangi hanya ada satu warna. Adakah ia menjadi sasaran lensa kamera ketika merakam keindahan? Adakah ia menjadi inspirasi pelukis dalam lakarannya? Adakah kemunculannya akan diabadikan dalam puisi oleh sang pujangga? Begitulah dunia ini, andai semua manusia sama dan serupa… Tidak wujudlah kepelbagaian dan tiada sebarang keunikan.

Novel Gadis Komik memaparkan tiga sahabat yang berbeza dari segi bakat dan minat. Mujur mereka boleh menerima kelemahan masing-masing dan berusaha mengatasinya menggunakan keistimewaan yang Allah beri. Keadaan ini membuat mereka selesa bekerjasama.

Apakah yang bakal terjadi apabila tiga kepala berpadu tenaga dalam usaha menukar mimpi menjadi realiti? Bagaimana caranya? Adakah mereka akan berjaya? Novel Gadis Komik akan menjawab persoalan-persoalan tersebut.

Ditakdirkan pula, pembikinan novel Gadis Komik itu sendiri turut menggabungkan Kay Mann sebagai penulis novel dan Han Rai Ram sebagai pelukis komik. Maka lahirlah novel berkomik yang bakal terbit tidak lama lagi. اِنْ شَآءَ اللّهُ

                      

“Persahabatan itu ibarat sekotak crayon. Masing-masing punya warna yang berbeza… Akan tetapi, apabila dipadukan, mereka mampu menghasilkan sebuah pelangi indah.”

Selasa, 28 Januari 2014

ADA APA DENGAN KENTUT?


Petikan novel GADIS KOMIK 


“Tanpa disedari, kita hidup di atas dunia ini dengan dikelilingi oleh pelbagai nikmat. Tidak perlu minta, Allah sudah bagi. Jika hendak disenaraikan, 100 jilid buku pun tidak akan habis. Contohnya, udara yang kita sedut pada setiap hari, setiap saat dan setiap detik. Adakah kita berdoa setiap pagi minta Allah bagi oksigen? Lihatlah betapa Pemurahnya Dia, tetap memberi walaupun kita tidak pernah minta. Kerana, Dia tahu kita perlukan udara untuk meneruskan keberlangsungan hidup di atas muka bumi ini.

“Bercakap tentang udara, ada lagi satu nikmat yang Allah bagi tetapi sangat sedikit orang yang menyedarinya. Kentut. Ya, saudara dan saudari sekalian bayangkan jika kita tidak boleh kentut selama sebulan. Bagaimanakah rasa agaknya?” Ahmad Baihaqi menggunakan kaedah komunikasi dua hala. Bimbang jika hanya dia seorang sahaja yang syok sendiri berkata-kata. Sedangkan, ahli jemaah yang lain tidak menghayati mesej yang cuba disampaikan.

“Buncit.”

“Perut kembung.”

“Senak.”

“Penuh udara.”

“Jadi macam belon.”

Pelbagai jawapan yang diberikan. Ada yang logik. Ada yang mengarut. Ahmad Baihaqi sabar mendengar satu per satu. “Tidak usah sebulan. Bagaimana jika Allah tarik nikmat kentut sepanjang kem ibadah ini berlangsung? نعوذ بالله. Sudahlah makan nasi mentah, tidak boleh kentut pula.”

Suaranya diiring gelak para jemaah yang geli hati. Pandai sungguh dia menyindir dalam bercanda. Dalam gelak tawa menikmati kuliah Maghrib, ramai yang tertunduk kerana malu dengan diri sendiri, malu dengan Allah. Sebentar tadi ramai yang merungut di dewan makan dek nasi yang mentah. Ahmad Baihaqi meneruskan kuliah Maghrib dan mengaitkan pula dengan isu pembaziran makanan dengan konsep syukur. Semuanya berkaitan dengan situasi di dewan makan pada petang tadi.

@-}-- @-}-- @-}-- @-}-- @-}-- @-}-- @-}-- @-}--

Kentut sinonim dengan bau busuk, bunyi yang memalukan, tidak senonoh dan macam-macam lagi. Namun begitu, tanpa kita sedar kentut juga merupakan salah satu nikmat daripada-Nya…

Babak kuliah maghrib dalam novel ini adalah inspirasi daripada pengalaman saya ketika menyertai perkhemahan Kor SUKSIS ketika menuntut di UniSZA. Memang pernah berlaku babak makan nasi mentah, penyampaian kuliah maghrib berkenaan "Mensyukuri Nikmat ALLAH" yang dikaitkan dengan kentut yang disampaikan oleh Nazar Akmal daripada 'Skuad 07'. Kami juga menunaikan solat berjemaah dengan beralas kanvas dan berbumbung langit yang luas terbentang...